KUALA LUMPUR — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu merekodkan kategori umur tertinggi dikesan sebagai penyalah guna dan penagih dadah berada dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata golongan itu dikategorikan sebagai belia dan mewakili 65.9 peratus atau 81,112 orang daripada keseluruhan penyalah guna dan penagih dadah yang dikesan iaitu seramai 128,325 orang.
Katanya, kajian lalu mendapati remaja berusia 12 hingga 16 tahun adalah tempoh perkembangan yang signifikan peralihan risiko penyalahgunaan bahan.
“Kajian Prevalens Penagihan Dadah Dan Bahan Dalam Kalangan Belia Di Malaysia (2022), mendapati umur permulaan mengambil dadah (onset age), majoriti mengaku mengambil dadah pada usia awal iaitu sewaktu usia antara 15 hingga 20 tahun, namun ada responden yang mengaku mengambil dadah seawal umur sembilan tahun.
“Ia situasi yang membimbangkan kerana pada usia terbabit kanak-kanak tidak memikir akibat dan kesan dadah sebaliknya pemikiran logik hanya dalam situasi konkrit.
“Kita harus sedar bahawa pelajar dan mahasiswa adalah aset terpenting negara terutama dalam pembangunan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang dihormati dan juga dikagumi oleh negara-negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah Dan Jenayah Juvana 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM), Datuk Zulkifly Ibrahim.
Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 adalah inisiatif PJNM iaitu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang komited untuk menyokong dasar dan saranan kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.
Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan jenayah berkaitan juvana, dengan tumpuan kepada pencegahan dan pendidikan.
Dalam pada itu, Sutekno berkata, menurut Substance Abuse and Mental Health Services Administration, pencegahan membantu orang ramai mengembangkan pengetahuan, sikap dan kemahiran yang mereka perlukan untuk membuat pilihan terbaik atau mengubah tingkah laku yang berisiko.
Justeru, katanya, program pencegahan yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan faktor perlindungan dan menghapuskan atau mengurangkan faktor risiko jenayah narkotik dan masalah penyalahgunaan penggunaan.
“Pencegahan adalah pelaburan yang amat penting dalam keluarga, komuniti dan negara kerana ia dapat menyelamatkan nyawa dan generasi muda pemimpin negara masa depan.
“Sumber kewangan yang terhad, masalah besar dan kompleks, memerlukan program dan amalan pencegahan kekal, berterusan dan berkesan membabitkan pelbagai pihak,” katanya.
Katanya berdasarkan misi dan matlamat Dadah Terkawal 2025, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK sudahpun merancang pelbagai strategi selaras dengan Dasar Dadah Negara yang inklusif dan holistik bertujuan untuk memacu jentera kerajaan dan NGO ke arah menangani permasalahan dadah di negara ini.
“Pelaksanaan program pada hari ini membuktikan NGO seperti PJNM bergerak seiring dengan kerajaan dalam usaha mempromosikan serta menyampaikan pendidikan kesedaran awal berkenaan dadah dan jenayah kepada masyarakat di samping meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai peranan komuniti untuk bersama-sama mencegah ahli keluarga dan komuniti daripada terjebak masalah ini.
“Justeru, usaha menggerakkan kempen pencegahan jenayah narkotik dan penyalahgunaan dadah harus disokong secara bersepadu yang membabitkan tanggungjawab dan kerjasama semua pihak terutamanya agensi di bawah KDN,” katanya.
BH ONLINE