Kitab fiqah, tauhid tertua di Malaysia

KUALA LUMPUR – Penemuan kitab fiqah, Siratul Mustaqim dan tauhid, Durr al-Faraid yang berusia lima abad membuktikan usaha ulama terdahulu memakmurkan orang Melayu dengan dakwah Islam telah lama wujud.

Kedua-dua kitab itu adalah yang tertua dalam bidang fiqah dan tauhid yang ditemui dalam bahasa Melayu setakat ini. Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid ditulis Syeikh Nuruddin ar-Raniri pada 1634 dan 1630.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah ulama berbangsa campuran Arab dan Melayu, dilahirkan di Ranir, India. Ayahnya berbangsa Arab, manakala ibunya Melayu.

Menurut pengkaji sejarah, Wan Ahmad Arshad, 57, jika kitab ini tidak ditulis pada abad ke-16, mungkin pada abad ke-18 dan 19 baru ada kitab fiqah dan tauhid dalam bahasa Melayu yang ditulis ulama lain.

Tanpa kitab berkenaan, katanya, jurang ilmu yang wujud pada ketika itu sangat besar, iaitu beratus tahun.

“Malah kamus Melayu Arab yang ditemui di Malaysia adalah pada 1920. Maknanya usaha menyampaikan dakwah dalam bahasa Melayu kepada masyarakat tempatan telah lama wujud.

“Saya tidak menafikan wujud ulama terdahulu, terutama dari Kedah, Terengganu dan Kelantan menulis kitab, tetapi keberadaan kitab berkenaan tidak dapat dikesan.

“Ada satu naskhah kitab tauhid yang ditulis ulama Kedah ditemui, tetapi hanya satu muka surat yang ada, selebihnya tidak dijumpai. Setakat ini, melalui semakan di perpustakaan negara, ini adalah kitab tertua malah lebih tua daripada yang tersimpan di perpustakaan negara,” katanya kepada BH.

Beliau menjelaskan, Siratul Mustaqim dan Durr al-Faraid juga lengkap dalam bentuk berjilid dari muka surat hadapan sehingga belakang.

Menurut pemilik Galeri Pusaka Moyang ini, kedua-dua kitab itu adalah warisan turun-temurun keluarganya, malah beliau juga mempunyai senaskhah al-Quran dipercayai berusia 709 tahun.

“Signifikan penemuan ini adalah pada waktu dahulu, orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab dan apabila naskhah ini di ditulis oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri, ia memberi manfaat kepada keseluruhan masyarakat Melayu.

“Untuk mendapatkan ilmu daripada ulama terdahulu, bayangkan pula kitab Melayu fiqah dan tauhid yang seterusnya ditulis, katakanlah pada awal abad ke-19, jika dibiarkan, akan berlaku kelompongan selama 400 tahun di situ,” katanya.

Wan Ahmad berkata, proses menentukan usia kitab memakan masa agak lama kerana beliau tidak mahu melakukan tuntutan tanpa bukti dan juga fakta.

“Kita ada melakukan semakan dengan beberapa pakar sebelum dibawa ke Perpustakaan Negara untuk melihat adakah tarikh dan penceritaan dalam kitab itu selari. Maksudnya kandungannya tepat dengan dengan masa kitab itu ditulis.

“Selain itu, kita boleh lihat kertas yang digunakan mereka ada tera air tersendiri. Selepas abad ke-17, sebarang buku yang ditulis mempunyai tera air bagi menunjukkan keunikan syarikat yang menerbitkan buku terbabit.

“Pentarikhan radiokarbon juga digunakan untuk menyemak usia buku ataupun kitab lama,” katanya.

BH