‘Jumlah 79,131 banduan di penjara lebih 11.2 peratus daripada kapasiti sebenar’

(Foto hiasan – Unsplash)

KAJANG — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setakat ini, seramai 79,131 penghuni ditempatkan di 93 institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu melebihi 11.2 peratus atau 7,312 penghuni daripada jumlah kapasiti keseluruhan institusi kendalian Jabatan Penjara iaitu 65,762 penghuni.

“Dalam usaha menangani kesesakan atau lebihan kapasiti itu, kita mahu mempergiatkan pelaksanaan Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pelepasan Banduan Secara Lesen, Program Reintegrasi Penghuni dan Program Pemulihan Pemasyarakatan.

“Banduan terbabit akan menjalani latihan pekerjaan dalam sektor perkilangan, perladangan dan perkhidmatan di luar penjara dengan menikmati insentif gaji setaraf pekerja lain.

“Inisiatif ini sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan dan membolehkan banduan terus bekerja sebaik saja mereka dibebaskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Penjara ke-233 yang bertemakan Reformasi ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di Maktab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Sumber teks — BH