PUTRAJAYA — Pegawai perkhidmatan awam yang sudah memilih Skim Pencen atau Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan berhasrat untuk memohon pemberian awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat (GCR), perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuk berkhidmat tidak kurang 15 tahun.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Penambahbaikan Pemberian Award Wang Tunai GCR dan Penambahbaikan Pemberian Awal Award Wang Tunai GCR, ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed, semalam.
Syarat lain termasuk pegawai sudah mencapai umur 45 tahun ketika permohonan dibuat, jumlah terkumpul GCR sekurang-kurangnya 90 hari, bebas daripada prosiding jenayah atau tindakan tatatertib dan mendapat perakuan daripada ketua jabatan.
Pekeliling memaklumkan kerajaan melalui pembentangan 2023, bersetuju kenaikan kadar maksimum GCR daripada 160 hari kepada 180 dan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari daripada 80 sebelum itu.
Pekeliling turut memaklumkan mengenai kebenaran GCR yang dikumpul melebihi 180 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.
Pemakluman pindaan ceraian Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan pemberian GCR teratur dan pindaan berkuatkuasa mulai 1 Januari lalu.
Pekeling juga memaklumkan, tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, ceraian itu pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan. BH