Jasad Salmah ditemui bawah timbunan pelepah sawit, 50 meter dari lokasi penemuan mayat anak

PADANG TERAP — Ibu tunggal, Salmah Mat Zain, 46, yang dihanyutkan arus deras akibat kejadian banjir di Kampung Tanjung Kanan di sini, petang semalam ditemui lemas kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

Sebelum itu, mayat anak Salmah yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras jam 5.35 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di bawah timbunan pelepah sawit dan tunggul kayu.

Beliau berkata, mayat kedua itu ditemui kira-kira 50 meter dari penemuan mayat Muhammad Rosman semalam.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Operasi pagi ini iaitu hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) yang ditangguh semalam disambung semula jam 7.30 pagi. Alhamdulillah, mayat Salmah ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

“Walaupun operasi semalam ditangguhkan jam 7 malam, namun semua pasukan penyelamat dan polis tetap menjalankan pemantauan dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.

Mulkiaman turut menasihatkan penduduk di daerah itu supaya tidak mengharungi air jika kawasan kediaman mereka dinaiki air.

“Kita tidak tahu apa yang ada di bawah air dan kita tidak mahu peristiwa seperti ini berulang.

“Operasi SAR hari ini membabitkan seramai 30 anggota JBPM Kedah termasuk PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Jitra, 25 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap dan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata mayat mangsa yang ditemui kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tinjauan mendapati, anjing dari Unit Pengesan K-9 JBPM yang tiba pagi ini turut berada di lokasi SAR.

Media sebelum ini melaporkan, dua beranak itu dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, pagi semalam.

Muhammad Rosman dan ibunya, Salmah dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum mereka dihanyutkan air deras.

Bagaimanapun, jasad Muhammad Rosman ditemui anggota PPDA JBPM Kedah tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir itu pada jam 5.35 petang.

BH ONLINE