JAIPk, polis kerjasama tangani ajaran sesat Millah Abraham di Perak

IPOH — Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bekerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani gerakan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan di sebuah daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata ketika ini, pemantauan dan siasatan masih dijalankan terutama bagi mengenal pasti pengikut ajaran terbabit serta modus operandi mereka dalam menyebarkan fahaman sesat berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada pengikut Millah Abraham di negeri ini aktif menyebarkan dakyah mereka atau merekrut pengikut seperti menerusi ‘halaqah’ atau perjumpaan rahsia tertentu seperti dilaporkan di beberapa negeri sebelum ini.

“Kes ini dalam siasatan dan kami sedang mengenal pasti pengikutnya, saya tidak boleh dedahkan secara terperinci. Kami sedang menyiasat dan ada libat urus dengan agensi-agensi berkaitan termasuk polis,” katanya.

Harith Fadzilah menjelaskan demikian ketika ditemui pada program bicara santai sempena karnival Merdeka x Hingo Fest 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan ajaran sesat itu wujud di Perak, namun meminta butiran lanjut mengenainya dirujuk kepada Bahagian Penyelidikan JAIPk.

Terdahulu pada 10 Ogos lalu, Zambri berkata, walaupun gerakan itu bergerak di negeri ini bukan dalam skala besar, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) melihat ada keperluan untuk menyekat, termasuk mewartakan fatwa mengenai ajaran itu bagi mengelakkan ia merebak.

Harith Fadzilah juga enggan mengulas ketika ditanya mengapa JAIPk belum bertindak membasmi gerakan ajaran sesat itu dengan mengheret pengikutnya ke mahkamah syariah seperti yang sudah dilakukan di beberapa negeri seperti Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya tidak boleh beri ulasan lanjut, takut ganggu siasatan,” katanya dan menjelaskan hasil siasatan awal mendapati mereka yang terbabit dalam ajaran itu adalah kerana jahil dan kurang pengetahuan agama.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, PDRM memantau perkembangan ajaran Millah Abraham bersama jabatan agama Islam seluruh negara bagi mengelakkan ajaran sesat itu terus berkembang.

Menyifatkan ia masih terkawal dengan tangkapan demi tangkapan dibuat oleh polis di beberapa negeri, katanya lagi, ahli ajaran sesat yang berasal dari Indonesia itu kini sekitar 5,000 orang dan dikesan meningkat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19.

Razarudin tidak menolak kemungkinan peningkatan jumlah pengikut itu disebabkan penggunaan internet atau media sosial bagi mengembangkan ideologi ajaran sesat berkenaan yang mula dikesan di beberapa negeri, antaranya Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.

Antara fahaman menyimpang, mereka percaya sembelihan oleh bukan ahli sebagai tidak sah, percaya kewujudan nabi baharu, ada syahadah berbeza, cuba mengabungkan agama Yahudi, Nasrani dan Islam serta menghuraikan ajaran al-Quran ikut fahaman sendiri, bukannya kitab tafsir.

BH ONLINE