PUTRAJAYA — Undang-undang menuntut wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati, mengundang pandangan berbeza mufti dalam konteks syarak.
Ada berpandangan wajib bersegera ‘melepaskan tanggungan’ si mati dengan melangsaikan hutang yang sumbernya diambil daripada harta peninggalan sebelum faraid, manakala yang lain menyifatkan cukai bukan hukum syarak dan bukan syariat, sebaliknya hanya tuntutan kerajaan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan harus dibayar tunggakan cukai itu sambil memetik hadis diriwayatkan Imam At-Tirmidzi yang menyebut ‘roh atau jiwa orang beriman itu tergantung dengan hutangnya sehinggalah dibayar atau dilunaskan’.
“Begitu juga dalam surah An-Nisa ayat 11, ada menyebut mengenai keperluan membayar hutang. Sekiranya waris tidak dapat melangsaikan hutang itu dalam masa segera, mungkin tiada wang tunai, waris digalakkan untuk menjamin hak bagi pihak si mati.
“Kalau tidak buat atau sengaja melengah-lengahkan, waris dianggap berdosa. Maksud hutang ini umum, termasuk hutang kepada orang perseorangan, syarikat, kerajaan atau apa sahaja cukai. Sama sahaja, semua perlu diselesaikan,” katanya kepada BH.
Khamis lalu, BH dalam laporan eksklusif, memetik Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.
Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.
Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.
Mengikut Seksyen 74 ACP 1967, waris atau wasi boleh dikenakan taksiran cukai seperti taksiran dikenakan ke atas si mati, termasuk menguruskan sebarang tunggakan atau lebihan cukai si mati.
Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan diterima sehingga tarikh kematian individu terbabit dan taksiran akan dibuat atas nama waris sah.
Waris si mati yang memiliki tunggakan cukai dan gagal melunaskan jumlah berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 106 ACP 1967. Mereka boleh dihadapkan ke mahkamah sivil bagi prosiding menuntut nilai hutang kepada LHDN.
Wan Salim berhujah, berdasarkan hadis dan nas yang ada, isu berkaitan tanggungan cukai pendapatan ditinggalkan pembayar cukai yang meninggal dunia, tidak perlu dibawa sehingga ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
“Cukuplah dengan mufti memberi penerangan dan pemahaman kepada masyarakat awam . MKI buat keputusan bagi sesuatu perkara yang tidak jelas, tapi dalam soal ini, ada nas atau hadis jelas seperti disebut dalam surah An-Nisa.
“Namun, kalau masih timbul perbezaan pendapat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dicadangkan untuk menyelaras, sama ada dengan meminta pandangan setiap mufti menerusi mesyuarat sebelum mengeluarkan edaran kenyataan,” katanya.
Bagaimanapun, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berpandangan berdasarkan syariat Islam, pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia, tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggal si mati.
“Mengikut pandangan ulama berkaitan cukai ini, ia bukan hukum syarak, bukan satu syariat, ia hanya tuntutan kerajaan. Pandangan hukum syarak, cukai tertunggak apabila seseorang meninggal dunia tidak perlu dikenakan bayaran balik, begitu juga ke atas warisnya.
“Ia hanya kehendak kerajaan, itu sahaja. Begitu juga merujuk kepada fatwa oleh Markaz Fatwa Arab Saudi, dalam masalah ini (tunggakan cukai ditinggalkan si mati), ia bukan masalah agama, ia tidak ada syarak. Maksudnya, bukan disyariatkan dalam Islam mengenakan cukai ini.
“Islam wajibkan zakat, itu bezanya. Siapa tak bayar zakat, waris wajib bayarkan, tapi cukai ini tidak dikenakan dalam syarak,” katanya menyarankan isu itu dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk tafsiran muktamad bagi memberi kefahaman kepada semua pihak.
“Mungkin untuk hutang ini (tunggakan cukai), waris boleh mohon pengecualian pembayaran kalau kerajaan benarkan ikut budi bicara. Kebiasaannya hutang ini (tunggakan cukai pendapatan), kalau tidak dibayar, akan dilupuskan kerajaan,” katanya.
Bagi bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, segala hutang piutang individu yang sudah meninggal dunia wajib diselesaikan waris dan sekiranya si mati meninggalkan harta, hutang yang ada perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum baki harta difaraidkan.
“Harta peninggalan si mati, ditolak pengurusan jenazah, kemudian tolak hutang piutang yang ada seperti zakat dan sebagainya, jadi bakinya barulah difaraidkan. Kalau tak cukup (harta ditinggalkan), memang waris kena bertanggungjawab melunaskan hutang terbabit.
“Hutang dengan sesiapa pun, malahan agensi kerajaan, tetap satu hutang yang perlu kita selesaikan. Contohnya hutang dengan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), wajib selesaikan,” katanya.
Beliau turut berpandangan, seelok-eloknya penjelasan atau sebarang keputusan mengenai isu terbabit dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya ada keputusan yang jelas untuk semua pihak. BH