IPOH — Selepas lebih seminggu menjadi sasaran kritikan kerana memetik ayat al-Quran dalam konteks politik, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee, hari ini tampil memohon maaf susulan isu itu.
Howard tampil memohon maaf menerusi sidang media yang dibuat di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Pengkalan, di sini petang tadi selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, jam 2 petang.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Ditanya sama ada keputusan memohon maaf ini dibuat hanya selepas keterangannya diambil polis sedangkan isu itu sudah berlarutan sejak minggu lalu, ahli Parlimen dari DAP itu berkata, baru semalam beliau sempat memberikan keterangan kepada polis kerana baru pulang dari Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York.
“Saya ambil kesempatan di sini untuk meminta maaf atas segala kesulitan dan memohon maaf bagi semua pihak termasuk semua rakan-rakan bukan Islam dari parti lain termasuk GERAKAN dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang turut memetik ayat suci al-Quran dalam konteks politik,” katanya pada sidang media itu.
Berikutan video beliau memetik ayat al-Quran berhubung konsep taat kepada ulil amri dalam ayat 59 surah al-Maidah itu, Howard dikritik pelbagai pihak termasuk ada mendakwa beliau melakukan provokasi.
Pada masa sama, Howard mempersoalkan mengenai pendirian PAS ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, ketika itu PAS menggalakkan orang bukan Islam menyelami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran.
“Saya tak tafsir sendiri tetapi saya menukilkan (memetik) tafsiran ayat itu yang diajarkan pihak yang arif dan orang alim. Bukan sahaja dalam hal agama Islam, sebaliknya semua topik saya hendak ulas yang mana ia bukan kepakaran saya maka saya akan buat kajian dahulu termasuk bertalaqi dengan orang alim dan bermuzakarah dengan beberapa ustaz.
“Namun sekarang pula tidak boleh. Saya juga sangsi mengapa DHPP boleh sahaja memetik ayat al-Quran, malah melafazkannya dalam bahasa Arab, sedangkan saya hanya memetik tafsir (terjemahan) dengan tidak memetik bahasa Arab.
Bagaimanapun, katanya, beliau sedar isu menimbulkan ketegangan, malah bersifat ancaman terhadap kehidupan hariannya termasuk ‘ancaman mati’ yang diutarakan sebilangan warganet.
“Saya tak buat laporan (polis) sebab saya sedar dan tahu ugutan itu dari akaun palsu. Jadi saya tak hendak membazirkan masa untuk siasatan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
BH Online