Ibu, anak cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyut arus banjir

PADANG TERAP — Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dan ibunya, Salmah Md Zain, 48, dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.29 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari BBP Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Faizal Che Mie tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan dua mangsa dihanyutkan air deras akibat banjir kilat.

“Tindakan yang dilakukan adalah dengan melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan bot aluminium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, maklumat berkaitan mangsa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa lokasi di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam yang melanda malam tadi.

Berikutan itu, pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Daerah (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang melakukan tinjauan di lokasi yang terjejas dinaiki air dan membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Amir Mohd Sougelail, 28, berkata penduduk kampung berteriak memanggil dua beranak itu supaya tidak meredah banjir kerana arus sungai sangat deras tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan.

“Saya nampak si ibu sempat berpaut pada pokok getah tetapi anaknya berpatah balik untuk mendapatkan ibunya sebelum kedua-duanya hanyut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Amir berkata, panggilan orang kampung dijawab wanita itu beberapa kali sebelum keadaan menjadi senyap.

“Air deras kerana kampung ini berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat malam tadi,” katanya.

Dua beranak itu dipercayai pulang daripada membeli nasi lemak dan menunggang motosikal menggunakan laluan sejauh lebih tiga kilometer (km) kerana jalan utama ke rumah dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air di laluan bertar yang ditenggelami sehingga paras dada untuk pulang ke rumah.

Laluan berkenaan dikatakan lebih dekat iaitu kira-kira satu km ke rumah mereka.

Muhammad Rosman yang juga OKU lembam tinggal berdua bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Mad Khozali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dilakukan sehingga jam 11.45 pagi ini.

Katanya, operasi SAR membabitkan 18 anggota dari BBP Kuala Nerang dan dibantu BBP Pokok Sena bersama agensi lain termasuk polis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

BH ONLINE