JOHOR BAHRU — Hampir lima juta pesakit menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak pusat perubatan itu ditubuhkan pada 1992, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.
Beliau berkata, IJN tidak berhadapan dengan masalah bagi menampung kapasiti tersebut berikutan mempunyai kakitangan serta kelengkapan fasiliti yang mencukupi.
“IJN mempunyai sembilan dewan bedah khusus untuk merawat pesakit jantung, dengan (dalam tempoh) satu hari kita boleh buat sebanyak 18 pembedahan.
“Secara purata, IJN ada kira-kira 2,400 kakitangan tetapi tenaga kerja paling besar dan menjadi tulang belakang adalah jururawat. Bagi doktor di semua jabatan pula, keseluruhan ada seramai 170 orang, sebab itu kita mampu beroperasi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kemampuan kapasiti IJN dalam merawat jumlah pesakit.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan IJN, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Prof Dr Rosli Md Illias.
Dr Aizai Azan berkata, menerusi MoU dan MoA bersama UTM, pihaknya menerusi Yayasan IJN berpeluang menjalankan program kolaborasi penyelidikan dan inovasi bersama pakar perubatannya serta penyelidik UTM di peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Rosli berkata kerjasama UTM dan IJN yang terjalin sejak 2013, diteruskan selama lima tahun lagi menerusi pemeteraian MoU hari ini.
Beliau berkata, sepanjang kerjasama itu, kedua-dua pihak sudah menjalankan pelbagai program dan penyelidikan serta menubuhkan Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM pada 2013.
“Penyelidikan dalam bidang kardiovaskular merangkumi pembangunan alat peranti jantung, membran dan graf vaskular atau jantung, sistem rehabilitasi dan telemetri, sistem pengurusan data kesihatan serta sistem telerobotik,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata UTM bersedia untuk terus bekerjasama dengan IJN terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik. BH