TAPAH — Seorang tukang cuci dihukum penjara tujuh hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana bersalah memfitnah dan menghasut sehingga merosakkan nama baik anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.
Majistret Anis Zainab Pawanteh memerintahkan tertuduh, Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan, 25, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 September lalu dan lanjutan tempoh penjara selama tujuh hari jika gagal membayar denda.
Anis Zainab turut mengarahkan telefon bimbit Wan Abd Qayyum yang digunakan sebagai medium sebaran fitnah itu, dilucuthak kepada kerajaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan fitnah terhadap Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dengan menyiarkan kepada Nur Azza Assyaqiren Azhar, 29, melalui komen di media sosial Facebook ‘Wan Qayyum.”
Komen itu bersifat fitnah dengan maksud merosakkan nama baik jika si mati masih hidup dan menyakitkan perasaan Azhar Khaiden, 54, iaitu bapa si mati.
Perbuatan itu dikesan dilakukan Wan Abd Qayyum di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Sungai Klah Sungkai, daerah Batang Padang kira-kira jam 2 petang 28 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.
Ketika prosiding berlangsung, majistret turut memanggil Azhar ke kandang saksi bagi memberi pernyataan yang memaklumkan perbuatan tertuduh itu, selain dianggap menyinggung perasaan keluarga mereka, ia juga satu penghinaan kepada arwah anaknya serta keluarganya secara umum.
“Apabila saya baca kenyataan ‘Wan Qayyum’ yang menyatakan seolah-olah arwah anak saya memang patut meninggal kerana selalu ‘pau’ duit tepi orang, ia satu penghinaan terhadap arwah (Ahmad Azza Fahmi) dan keluarga saya.
“Perasaan keluarga kami kecewa, marah dan tersinggung dengan kenyataan seolah-olah anak saya yang mati di Ulu Tiram kerana kes rasuah,” katanya.
Ketika merayu hukuman ringan, Amani berkata, anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh selepas diserang lelaki bersenjatakan parang, dengan pelakunya dipercayai anggota Jemaah Islamiyah
Serangan kira-kira jam 2.45 pagi itu juga menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.
BH ONLINE