KUCHING — Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabas dan terlanggar pokok di tepi Jalan Sultan Tengah, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kedua-dua lelaki yang berumur 39 dan 48 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi itu mangsa dalam perjalanan dari Kampung Pasir Pandak menghala ke Santubong.
“Siasatan awal mendapati motosikal Honda EX-5 yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar pokok di sebelah kiri jalan.
“Pihak paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
BH Online