Dadah sintetik ATS pilihan utama penagih dadah di Malaysia

KAJANG — Dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) antaranya syabu, pil kuda dan ekstasi terus menjadi pilihan penagih dadah di Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, sekali gus membuktikan ancaman berkaitan dadah sintetik yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, katanya seramai 169,691 penagih dadah direkodkan pihaknya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) sepanjang tahun lalu.

“Jenis dadah paling banyak disalah guna adalah ATS seperti syabu, pil kuda dan ekstasi membabitkan 119,410 pengguna atau 70 peratus daripada keseluruhan penagih.

“Dadah jenis opiat pula menjadi pilihan kedua penagih dadah seluruh negara mencatatkan 38,854 penagih, manakala ganja 6,750 penagih dan selebihnya mengambil lain-lain jenis narkotik serta pil psikotik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan Bulanan AADK, di sini, hari ini.

Tambah beliau, AADK berjaya merekodkan tahap 79 peratus pada kadar pemulihan klien pada tahun lalu, berbanding sasaran awal ditetapkan iaitu 77 peratus.

Beliau berkata, seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 klien yang telah tamat rawatan pemulihan dalam komuniti sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

“Begitu juga dengan capaian perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) yang telah dapat diperluaskan kepada 13,140 orang klien,” katanya.

Untuk 2025 pula, kata Ruslin, AADK memberi tumpuan kepada pelaksanaan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, selain merangka Pelan Komunikasi Antidadah sebagai satu usaha menyebar luas mesej antidadah yang tepat dan terkini.

“AADK juga merancang meningkatkan pengukuhan kerjasama dengan pemegang taruh seperti agensi kerajaan dan swasta, pakar psikiatri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta komuniti terdiri pemimpin masyarakat dan keluarga.

“Kita juga akan memperkenalkan program pemulihan lebih bersepadu, termasuk sokongan psikologi dan sosial bagi individu yang sedang menjalani pemulihan. Selain itu, inovatif dalam mencari penyelesaian kepada masalah penyalahgunaan dadah dalam pelaksanaan modul pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan.

“Salah satunya adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk perubatan, keselamatan, pendidikan dan banyak lagi,” katanya.

Mengulas cecair perisa vape dikenali ‘mushroom’ yang disalahgunakan secara meluas dan mudah diperoleh, Ruslin berkata, ‘magic mushroom’ iaitu psilosibin atau dadah sintetik Methyl-dimethylbutanoate (MDMB), kedua-duanya berada dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memerlukan tindakan AADK.

“Pada tahun lalu kita ada melakukan kajian membabitkan 50 kes. Penagih dakwa mereka ambil ‘magic mashroom’ tetapi daripada data kita dapat daripada jabatan kimia, bahan itu bukan ‘magic mushroom’ tetapi dadah sintetik yang dimasukkan di dalam cecair vape.

“Magic Mushroom’ itu di luar sana adalah satu terminologi meluas dipakai, tetapi realitinya kajian membuktikan ia adalah dadah sintetik,” katanya mengakui tidak dapat mengesahkan daripada mana dadah itu diperoleh, tetapi banyak digunakan dalam kalangan remaja.

BH ONLINE