Bumbung dewan IKIM runtuh

KUALA LUMPUR — Enam wanita cedera ringan selepas bumbung dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Jalan Duta di sini, runtuh hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.56 pagi.

“Seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Jalan Hang Tuah dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati berlaku runtuhan membabitkan keseluruhan bumbung dewan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, enam mangsa wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun dilaporkan cedera ringan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans untuk pemeriksaan lanjut.

“Difahamkan, semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 12.51 tengah hari tadi dan punca runtuhan masih dalam siasatan. BH