Bomba jumpa mayat pemancing insiden bot terbalik di Tasik Pedu

KUALA NERANG — Selepas empat hari, pemancing yang dilaporkan hilang di Tasik Pedu, ditemui mati lemas pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari lokasi botnya terbalik pada Khamis lalu.

Mayat Ooi Swee Hin, 41, ditemui pada kira-kira jam 8.05 pagi oleh anggota bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim, berkata mayat ditemui dalam operasi permukaan air yang dilakukan pasukannya.

“Operasi SAR disertai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Jitra serta Unit Anjing Pengesan K-19 JBPM, dibantu Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hutan Padang Terap.

“Operasi berdepan kesukaran kerana terdapat tunggul kayu di dasar tasik yang boleh membahayakan anggota PPDA menyelam,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Swee Hin hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya untuk memancing di Empangan Tasik Pedu terbalik. Rakannya berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian itu.

BH ONLINE