Boleh didakwa jika muat naik, sebar kandungan lucah

Teo Nie Ching beramah mesra dengan kanak-kanak  mengikuti pembelajaran komputer di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) ketika merasmikan Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) dan Majlis Berbuka Puasa di Balai Raya Felda Bukit Batu, Kulai. (Foto BERNAMA)

KULAI — Tindakan memuat naik dan menyebarkan kandungan berunsur lucah adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, menasihati semua pihak lebih berhati-hati dalam memuat naik atau berkongsi kandungan tidak wajar bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Akta Multimedia dan Komunikasi Seksyen 233 ada menyatakan penggunaan tidak wajar, kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian memang satu kesalahan.

“Contohnya kandungan lucah, kandungan menyakitkan, mengugut mengganggu orang lain dan sebagainya.

“Kalau seseorang memuat naik kandungan (sedemikian) di media sosial, ia memang salah satu penggunaan tidak wajar dan boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) dan Majlis Berbuka Puasa di Balai Raya Felda Bukit Batu, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan individu memuat naik dan menyebarkan video pasangan yang melakukan perbuatan jelik di dalam kereta, sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberi kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti individu yang memuat naik kandungan tidak wajar itu.

Jika didapati bersalah, katanya, pihak berkenaan boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang gadis berusia 17 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan perbuatan jelik dalam sebuah kenderaan di Taman Kota Masai, selepas rakaman video mereka tular.

Mereka yang dipercayai pasangan kekasih itu kemudiannya direman dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara polis meneruskan siasatan kes untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. BH memetik BERNAMA