KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen hari ini mendapati bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd bersalah atas 32 pertuduhan menyalah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram, sejak tahun 2012.
Hakim Kamaruddin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan, di akhir kes pembelaan.
Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.
Pada 21 April 2016, beliau didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015. BH