PUTATAN — Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memanjangkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) bagi pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kelulusan itu akan memanfaatkan 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun 2022.
Beliau berkata, kadar Bayaran Insentif Sabah Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar BIW.
“Namun asas pembayaran ketiga-tiga insentif itu adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya.
“Justeru, kerajaan bersetuju memanjangkan BIW menggantikan BISS dan BISM untuk manfaat pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai ini,” katanya pada program Ramah Mesra Bersama Bersama Warga ATM Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan projek baharu pembangunan semula 49 unit rumah terbiar untuk dijadikan 47 unit kuarters awam dan sebuah Rumah Transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi bernilai RM25 juta. BH