Mahathir ketika berucap pada program Jelajah Bicara Bangsa di Sikamat di sini malam tadi. - NSTP/ MOHD AMIN JALIL
SEREMBAN — Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam di negara ini, yang disifatkan beliau sukar untuk dilaksanakan.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini kerana kerajaan ketika ini terpaksa menanggung hutang besar yang mencecah bilion ringgit.
“Kononnya mahu naik gaji pegawai kerajaan…mahu naik bagaimana duit pun tiada, bayar hutang sahaja pun berbilion setahun.
“Macam mana nak naik gaji, (tetapi) itulah janji yang dibuat (Anwar),” katanya ketika berucap pada program Jelajah Bicara Bangsa di Sikamat di sini malam tadi.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri memberitahu skim gaji perkhidmatan awam akan disemak semula bagi memastikan penjawat awam menerima gaji dan upah yang setimpal.
Anwar dilaporkan berkata, penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu tempoh agak lama.
Dalam pada itu, Mahathir turut mempersoal kenyataan Anwar yang mahukan gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan serta pengumuman pemberian elaun minimum.
“Syarikat mempunyai bajet tertentu dan mereka tidak sewenang-wenangnya naikkan gaji pegawai dan kakitangan mereka, ini akan menyebabkan perniagaan mereka akan jadi rugi.
“Ada juga cadangan dari Perdana Menteri ini untuk naikkan gaji lulusan TVET..sedap cakap,” katanya.
Komen itu merujuk kenyataan Perdana Menteri bahawa pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum RM800 sebulan.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa perjuangan orang Melayu sejak dulu yang menjurus kepada mempertahankan tanah air, bangsa dan Islam sudah diselewengkan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.
Tanpa menyentuh secara khusus mana-mana pihak, beliau berkata, golongan itu cuba mengalih Tanah Melayu ini supaya tidak lagi menjadi Tanah Melayu, selain mendakwa kononnya Malaysia negara pelbagai kaum dan orang Melayu perlu berkongsi tanah air dengan orang lain.
“Ini masalah paling besar dihadapi orang Melayu sekarang iaitu cubaan untuk mengalih Tanah Melayu ini supaya tidak lagi menjadi Tanah Melayu.
“Walaupun mereka telah mendapat nikmat, perolehan daripada perniagaan di sini, tetapi negara kita ini hendak diambil oleh mereka,” katanya.
Bekas Pengerusi PEJUANG itu juga berkata, golongan ini menjadikan Melayu sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri selepas mendapat kedudukan dalam hati kaum majoriti negara ini.
“Mereka mendakwa berjuang untuk orang Melayu tetapi sebenarnya berjuang untuk mendapat kekayaan bagi diri mereka. Sebab itulah mereka (sanggup) melakukan pelbagai jenis jenayah (rasuah) dan hari ini mereka dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah.
“(Sebenarnya) mereka pegang jawatan bukan untuk bangsa, negara dan agama tetapi nak isi tembolok mereka,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang berkenaan itu juga bertanggungjawab menukar negara ini daripada demokrasi kepada kleptokrasi dan kini bertukar pula kepada kakistokrasi iaitu orang yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah, utamakan rakyat dan bangunkan negara.
Sehubungan itu, Mahathir menggesa orang Melayu bersatu menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri untuk memilih parti yang memperjuangkan Melayu, tanah air dan Islam, sekali gus membersihkan negara daripada pihak tidak bertanggungjawab.
BH Online