Bapa tiri mengaku salah 32 tuduhan rogol, amang seksual, seks guna objek

MELAKA — Seorang pengajar kelas renang didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas 32 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya sejak berusia 12 tahun.

“Saya mengaku salah,” kata tertuduh, 37, selepas pertuduhan dibacakan masing-masing 16 pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mahkamah menetapkan 15 Mei ini untuk menjatuhkan hukuman selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N Sivashangari memohon tarikh itu untuk mengemukakan fakta kes.

Pihak pendakwaan juga memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan semua kesalahan tersebut di Taman Maju, Jasin antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.

Dia menghadapi 11 pertuduhan merogol ketika mangsa berumur 12 tahun di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat dan satu pertuduhan merogol semasa mangsa berumur 16 tahun di bawah Seksyen 376(1) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dia juga berdepan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks tanpa kebenaran mangsa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Lelaki itu turut didakwa atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. BH memetiik Bernama