Banjir membunuh 43 orang di Sumatera Barat Indonesia, 15 hilang

Banjir membunuh 43 orang di Sumatera Barat Indonesia, 15 hilang
Agensi pengurusan dan bencana negara Indonesia dalam satu kenyataan berkata hampir 200 rumah rosak dan 72 hektar tanah, termasuk sawah padi terjejas. (AP)

TANAH DATAR — Banjir kilat dan gelongsor lumpur di wilayah Sumatera Barat, Indonesia mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang pada hujung minggu manakala pencarian 15 orang hilang diteruskan, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Hujan lebat pada petang Sabtu mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lava sejuk – campuran abu gunung berapi, serpihan batu dan air seperti lumpur – di tiga daerah di wilayah Sumatera Barat, kata Abdul Malik, ketua pasukan penyelamat wilayah.

Aliran lava sejuk, yang dikenali di Indonesia sebagai lahar, berasal dari Gunung Marapi, salah satu gunung berapi paling aktif di Sumatera.

Pada Disember, lebih 20 orang terbunuh selepas Marapi meletus. Beberapa siri letusan menyusul sejak itu.

“Hujan lebat menyapu bahan seperti abu dan batu besar dari gunung berapi Marapi,” kata Abdul Malik, yang kemudiannya menambah dalam satu kenyataan bahawa 43 orang mati dan 15 masih hilang.

“Aliran lava sejuk dan banjir kilat sentiasa mengancam kami kebelakangan ini. Tapi masalahnya, selalu berlaku lewat malam hingga fajar,” katanya.

Abdul berkata kira-kira 400 anggota, termasuk penyelamat, polis dan tentera, dikerahkan untuk mencari mangsa yang hilang pada Isnin, dibantu oleh sekurang-kurangnya lapan jengkaut dan dron.

Agensi pengurusan dan bencana negara BNPB dalam satu kenyataan berkata hampir 200 rumah rosak dan 72 hektar (178 ekar) tanah termasuk sawah padi terjejas. Sekurang-kurangnya 159 orang dari daerah Agam telah dipindahkan ke sekolah berhampiran.

Rakaman dikongsi BNPB menunjukkan jalan raya dan sawah dilitupi lumpur. Video itu juga menunjukkan serpihan rumah dan bangunan rosak, manakala banjir membawa balak dan batu besar ke dalam penempatan.

Eko Widodo, 43 tahun, yang terselamat, berkata: “Banjir berlaku secara tiba-tiba dan sungai menjadi tersumbat mengakibatkan aliran air merata-rata dan ia tidak terkawal.”

AN memetik Reuters