Anggota APM maut dipatuk ular tedung selepas dua hari dirawat

BACHOK — Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu meninggal dunia pagi tadi selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian susulan dipatuk ular tedung, kelmarin.

Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab, berkata anggota berkenaan Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 34, disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 pagi tadi.

Sebelum kejadian pagi kelmarin, arwah yang pada ketika itu bertugas di APM Tunjong hendak mengalihkan ular tedung yang diletakkan dalam guni ke sangkar.

“Ular berkenaan ditangkap di sebuah kampung di Kota Bharu pada malam Sabtu lalu dan pada keesokan hari, arwah mahu mengalihkan haiwan berbisa itu ke sangkar.

“Bagaimanapun, berlaku insiden di luar jangka apabila celah ibu jari kanan arwah dipatuk dan ketika mengendalikan haiwan berbisa itu, arwah memakai sarung tangan,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin, hari ini.

Mohd Adzhar berkata, selepas insiden itu arwah berkeadaan seperti biasa namun bimbang bisa ular berkenaan, arwah segera dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan.

“Dua hari dirawat, arwah dalam keadaan stabil sehingga awal pagi tadi saya menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan keadaan kesihatan arwah tiba-tiba merosot,” katanya.

Sepanjang 15 tahun berkhidmat sebagai anggota APM, ini adalah kali kedua arwah dipatuk ular selepas kejadian sama beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan jari tengah tangan kanannya terpaksa dipotong.

“Arwah seorang yang terlatih mengendalikan haiwan berbisa selain pernah mengikuti beberapa kursus. Arwah juga seorang yang sangat komited dengan kerja dilakukannya walaupun ada kalanya berdepan dengan bahaya yang boleh merisikokan nyawa,” katanya.

Sementara itu ibu arwah, Noriah Awang, 67, berkata beberapa hari lalu arwah menyuarakan hasrat untuk melangsungkan pertunangan pada Aidiladha nanti.

“Bagaimanapun, hajat arwah tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput Ilahi dan kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi.

“Saya masih terkejut dengan pemergian arwah kerana ketika dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu arwah dalam keadaan baik dan stabil.

“Bagaimanapun, pada jam 11 malam tadi, seorang anak yang menjaga arwah pada ketika itu memberitahu arwah sakit dada dan jam 3 pagi sekali lagi menerima panggilan memaklumkan keadaan arwah semakin merosot akibat bisa ular sudah merebak ke pinggang.

“Saya bergegas ke hospital dan berada di sisi arwah sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Noriah berkata, dia sentiasa menasihati anak ketiga daripada lima beradik itu supaya berhati-hati kerana pekerjaannya berisiko.

Sementara itu, rakan setugas arwah, Mohd Yunus Sulaiman, 55, berkata arwah rakan sekerjanya itu digelar dengan panggilan Raja Ular disebabkan kecekapannya mengendalikan haiwan berbisa.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka, haiwan yang selama ini jinak dengan arwah akhirnya menjadi penyebab kepada kematiannya,” katanya. BH