IPOH — Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam menurut akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, berkata Suhaini yang turut dipanggil Sohai Ibnu Mohammad, Si Hulk atau apa jua gelaran dikaitkan dengannya, didapati membawa pelbagai fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan Islam, antaranya mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT serta entiti yang sama.
Beliau berkata, fahaman dan ajaran sesat itu wajar segera disekat daripada disebarkan kepada umat Islam di negara ini dan mana-mana orang Islam dilarang untuk berpegang, beramal atau terbabit dengan fahaman dan ajaran itu selain mereka yang mengamalkan fahaman dan ajaran itu dikehendaki segera bertaubat serta memohon keampunan Allah SWT.
“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-221 yang bersidang pada tarikh 9 hingga 11 Disember 2020 memperaku keputusan fatwa berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak.
Kata Wan Zahidi, antara penyelewengan lain Suhaini adalah tafsiran Al-Quran yang menyeleweng mengenai huraian Surah Taha ayat 120 dan Surah al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan Allah SWT kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan buah khuldi di syurga.
Katanya, ajaran itu turut mengamalkan penipuan mengenai khasiat air dan botol Sihulk dengan didapati mempromosikan air Sihulk dengan mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat orang ramai membeli produk terbabit.
Beliau berkata, antara dakwaan berlebihan mengenai khasiat Air Sihulk termasuk seperti dikatakan kononnya kotak Sihulk adalah peti Tabut yang pernah diberikan Allah SWT kepada Talut seperti mana maksud di dalam surah al-Baqarah ayat 248 yang sudah diselewengkan maknanya.
Katanya, dakwaan mengarut lain mengenai Air Sihulk adalah kononnya ia Air Hayat, iaitu air yang dicari oleh Iskandar Zulkarnain tetapi diperoleh oleh Nabi Khidir AS yang justeru menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.
“Lalu (kononnya) Nabi Khidir AS membekalkannya kepada umat akhir zaman sebagai tanda ikatan menerusi jual beli dengan Nabi SAW melalui sanad yang tidak putus dengan ia (kononnya) didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang daripada sihir.
“Justeru mereka menganggap meminum air Sihulk adalah meminum air yang dibeli sendiri daripada Nabi Muhammad SAW dan (kononnya) ramai ahli yang sudah minum air berkenaan dapat bermimpi berjumpa dengan baginda.
“Selain itu, (menganggap) botol Sihulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol dengan cara berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sambil membayangkan wajah Suhaini Mohammad, wajah Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dan wajah Nabi SAW, kononnya ini adalah sama dengan amalan Rabitah ulama Sufi,” katanya.
Katanya lagi, penyelewengan ajaran itu dari sudut Kenabian adalah Suhaini Mohammad menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW seorang yang tidak mempunyai jantina iaitu baginda bukan lelaki dan juga bukan seorang wanita iaitu tidak mempunyai kemaluan.
Sejak awal minggu ini , tular video rakaman lima beranak yang dengan beraninya mengaku mereka adalah antara pengikut Sihulk serta mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah.
Video terbabit dimuat naik oleh seorang daripada mereka, iaitu melalui akaun Facebook Nurul Sakinah Noor Hashim.
Kelmarin, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.
BH Online