KOTA KINABALU — Dua anggota polis cedera selepas ditetak seorang lelaki disyaki kurang siuman dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, pegawai polis berpangkat Inspektor dan Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, cedera di kepala, lengan dan bahu kanan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai seorang lelaki disyaki kurang siuman mengamuk di rumahnya.
Katanya, suspek bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah berkenaan dan turut mengasari kakaknya.
“Bertindak atas aduan itu, saya dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah bersama sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah serta anggota Balai Polis Manggatal ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, suspek dipujuk untuk menyerah diri, namun dia enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya selepas itu suspek bertindak mengunci diri bersama ibunya dalam bilik tidur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, selepas dua jam usaha memujuk suspek menemui kegagalan dan tiada tanda-tanda suspek hendak bekerjasama untuk menyerah diri dan membebaskan ibunya.
“Pasukan polis kemudian bertindak memecahkan pintu bilik lalu menyerbu masuk dan berjaya menyelamatkan ibu suspek.
“Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan. Suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan anggota polis berpangkat Sarjan.
“Kedua-dua anggota cedera di lengan, kepala dan bahu kanan manakala suspek berusia 42 tahun hanya cedera ringan di muka manakala ibu suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Siasatan mendapati suspek adalah bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.
“Kedua-dua anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cubaan bunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun,” katanya.
BH Online