Ternak ikan patin buah dalam sangkar penuhi permintaan penggemar

JERANTUT — Kesukaran mendapatkan ikan patin buah di Sungai Pahang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran mendorong seorang pemuda mengambil inisiatif menternaknya secara komersil dalam sangkar di sungai itu.

Amizi Abd Hamid, 45 yang mengusahakan projek ikan sangkar di Kampung Kelola, Pulau Tawar dekat sini, berkata walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang besar namun itu tidak melemahkan semangatnya untuk menternak ikan patin buah sejak Jun tahun lalu.

Katanya, benih ikan berkenaan yang bersaiz 5 inci (12.7 sentimeter) diterima daripada pembekal di Selangor dengan harga RM10 seekor. Untuk mendapatkan benih tempahan perlu dibuat beberapa bulan.

“Kini saya memiliki 3,000 ikan patin buah diternak dalam tiga sangkar dengan tempoh matang dan sesuai untuk dipasarkan ialah 12 bulan dengan berat lebih satu kilogram (kg).

“Permintaan terhadap ikan patin buah begitu menggalakkan walaupun harga pasaran kini antara RM100 hingga RM120 sekilogram,” katanya, di sini semalam.

Dia yang turut menternak pelbagai spesies ikan air tawar dalam 36 sangkar, berkata peratus kematian ikan patin buah lebih rendah dan perlu diberi makanan pallet sekali hingga dua kali sehari.

“Setiap hari saya perlu menyediakan 10 beg makanan pallet untuk ikan pelbagai saiz dan setiap satu beg berharga RM80.

Amizi berkata, tidak ramai penternak tempatan yang sanggup mengeluarkan modal besar untuk menternak ikan patin buah walaupun mereka mengetahui pulangan hasil jualan begitu lumayan.

Dia turut menternak ikan talipia merah, baung, jelawat dan lampam jawa, selain beberapa spesies ikan asal Sungai Pahang seperti temelian, baung, kenderak dan kerai.

“Setiap petang saya menjala di Sungai Pahang, hasilnya benih ikan asal Sungai Pahang saya simpan dalam sangkar,” katanya yang turut menyediakan rumah rakit untuk disewa di kawasan sangkar ikan.

BH Online