219 kes jenayah seksual kanak-kanak dilaporkan di Johor

JOHOR BAHRU — Sejumlah 219 kes kesalahan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dilaporkan di Johor sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata daripada jumlah itu sejumlah 103 kes sudah didakwa di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Kesalahan dilaporkan, termasuk rogol sebanyak 59 kes, sumbang mahram (20 kes), liwat (enam kes), penderaan (58 kes), buang bayi (tujuh kes) dan kesalahan seksual kanak-kanak (69 kes).

“Antara kes yang dilaporkan itu, termasuk perlakuan sumbang mahram antara bapa terhadap anaknya serta jenayah rogol antara kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

“Kita akui jumlah itu agak tinggi dan membimbangkan, jadi tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesalah yang melakukan jenayah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman turut mengingatkan masyarakat khususnya ibu bapa untuk memantau penggunaan gajet atau telefon bimbit serta media sosial anak masing-masing supaya tidak disalah guna.

BH Online