Guru besar SK Sungai Tengar maut dalam kemalangan selepas balik bertugas

SABAK BERNAM — Perjalanan pulang guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengar, di sini, selepas selesai bertugas, semalam berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, pendidik berusia 59 tahun itu yang menunggang motosikal dikatakan melanggar tiang elektrik di Jalan Supar di sini, sebelum terjatuh dan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, ketika kejadian mangsa dari sekolahnya dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Motosikalnya gagal dikawal dan melanggar tiang elektrik. Mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia.

“Permukaan jalan basah ketika kejadian kerana hujan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH Online