Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo ditahan

Jho Low (kiri) dan Jasmine Loo Ai Swan.

PUTRAJAYA — Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang medianya di sini hari ini berkata, individu terbabit direman pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

“Suspek ditahan di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya. Polis mempunyai beberapa perkara yang perlu disiasat.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

“Peguam Loo memaklumkan Loo menyatakan kesediaan untuk bekerjasama untuk bantu siasata Polis Diraja Malaysia dan kerajaan dalam kes berkaitan 1MDB,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkembangan kes dan menyerahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

“Biar polis jalankan tugas dahulu, saya tidak mahu komen. Kes ini (1MDB) memang belum selesai, apapun tindakan lanjut biar ikut lunas undang-undang,” katanya.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.

INFO tarikh penting

4 Disember 2018

Bekas peguam dan Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB, Loo Ai Swan @ Jasmine didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram lebih AS$6 juta yang diterima menerusi akaun Switzerland dikawalnya antara 6 Disember 2012 dan 1 Julai 2014.

Wang itu dipercayai adalah sebahagian daripada dana yang dipindahkan daripada dua tawaran bon 1MDB yang pertama dijamin oleh bank Goldman Sachs.

5 Disember 2018

Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Jasmine berikutan pertuduhan yang dikenakan tanpa kehadirannya.

20 Januari 2023

Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan dan sebuah bank melucut hak satu harta, dua kenderaan mewah dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Pihak pendakwaan memohon untuk melucuthakkan dua kenderaan iaitu Audi Q5 2.0 TSFI dan Volkswagen New Beetle 1.6(A), selain RM22,600 dalam akaun Maybank Ai Swan.

7 Julai 2023

Jasmine ditahan polis untuk membantu siasatan kes pecah amanah.

BH Online