KUALA LUMPUR — Pengeluaran secara berkala atau bulanan oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila mencecah usia persaraan 55 tahun sewajarnya dijadikan pilihan, bukannya mandatori.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata cadangan diutarakan KWSP itu lebih kepada penambahbaikan terhadap skim pengeluaran sedia ada.
Katanya, pengeluaran bulanan itu boleh dianggap sebagai wang pencen yang pencarum boleh gunakan untuk menampung kegunaan mereka apabila sudah bersara.
“Namun fleksibiliti untuk mengeluarkan jumlah wang lebih besar mungkin secara ‘one-off’ juga boleh membantu dalam memenuhi impian mereka seperti membaiki atau mengubahsuai rumah serta mengerjakan ibadah haji.
“Cadangan ini sewajarnya dijadikan sebagai pilihan dan bukan mandatori. Apa-apa pun, setiap pencarum perlu ditanamkan sifat berdisiplin dalam mentadbir kewangan peribadi mereka,” katanya kepada BH, ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas cadangan KWSP yang tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Ini kerana pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Sementara itu Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata secara dasarnya ia satu cadangan yang mempunyai asas baik terutamanya dari aspek pengurusan kewangan peribadi, lebih-lebih lagi dalam konteks melaksanakan bajet peribadi.
Namun begitu katanya, ada juga beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum keputusan ini dibuat, seperti kedudukan kewangan individu berkenaan, tahap literasi kewangan individu terbabit dan juga jumlah simpanan yang ada.
“Mungkin ada pencarum yang ingin membayar hutang ‘jahat’ mereka ataupun ingin memulakan perniagaan dengan duit berkenaan. Ada sesetengah individu yang mempunyai IQ kewangan yang tinggi, mungkin sudah ada perancangan untuk melakukan perdagangan ataupun pelaburan.
“Ada juga yang mungkin ingin meningkatkan pendapatan portfolio ataupun pendapatan pasif mereka. Selain itu, faktor jumlah simpanan juga perlu diambilkira.
“Mengikut data KWSP misalnya, sekitar 3.6 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000. Jadi, adakah mereka akan dapat sekitar RM42 sebulan? Jadi, perlu ada penelitian secara menyeluruh sebelum cadangan ini dilaksanakan,” katanya.
Semalam Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah dilaporkan berkata KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Beliau berkata, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Jelasnya, pengeluaran berkala atau secara bulanan itu juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.
Katanya, ketika ini, pengeluaran secara bulanan itu adalah dibuat secara sukarela dan menuju ke depan pihaknya boleh melihat sama ada untuk menjadikannya secara mandatori bagi ahli baharu. BH