Wanita Orang Asli Jakun tuntut penjelasan kematian anak di lokap

KUANTAN — Seorang wanita menuntut penjelasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian anak lelaki sulungnya berusia 25 tahun ketika dalam tahanan polis pada 4 Mei lalu.

Noriah Hitam, 51, berkata penjelasan itu penting berikutan anak lelakinya, Norazman Me, hanya dimaklumkan sebagai mati tergantung ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Saya dan keluarga merayu pihak atasan PDRM membuat siasatan terperinci dan adil.

“Saya tidak dapat terima kerana anak saya meninggal dunia dalam tahanan dan jagaan polis,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat peguam bela, Datuk S BobArumugam, di sini hari ini.

Hadir sama, suami Noriah, Me King King, 58 dan anak perempuannya, Rodiah, 19.

Mereka adalah Orang Asli dari suku Jakun yang menetap di Kampung Orang Asli Runchang, Pekan.

Noriah berkata, dia dimaklumkan anak lelaki ditahan di Kampung Sungai Miang, Pekan pada 1 Mei lalu kerana disyaki mencuri motosikal dan ditahan di lokap IPD Pekan.

“Namun pada 4 Mei lalu, seorang pegawai polis memberitahu anak saya meninggal dunia dalam lokap dan mayat berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, memaklumkan setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Beliau mengesahkan lelaki itu ditangkap kerana kesalahan mencuri motosikal dan ditahan di lokap IPD Pekan.

BH ONLINE