(Foto NSTP) |
KLUANG — Seorang pelajar kolej kejururawatan maut selepas dilanggar penunggang sebuah motosikal yang disyaki gagal mematuhi lampu isyarat merah di Kilometer 75, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata dalam nahas jam 3 petang itu, pelajar terbabit dikenali sebagai, Nijha Ilhany, 21, yang menunggang motosikal Suzuki, parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, seorang lagi penunggang Modenas Kriss, Muhammad Azrul Hakimi, 16, parah pada kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom (HEBHK) di sini.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Johor Bahru menghala ke pasaraya Econsave dilanggar oleh penunggang motosikal dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru.
“Penunggang Modenas yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam tidak memiliki lesen memandu” katanya. BH