(Reuters/Fail) |
ANKARA — Sebuah kapal kargo berbendera Guinea-Bissau dengan 14 anak kapal tenggelam di pantai Mediterranean Turkiye pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga daripada mereka.
Lima orang diselamatkan manakala usaha diteruskan untuk mencari kru lain yang hilang, kata pegawai dan laporan berita.
Kapal Joe 2 tenggelam di luar pantai Kumluca, di wilayah Antalya, semasa menuju ke Ukraine dari pelabuhan Turki Iskenderun, kata Gabenor Ersin Yazici. Ia mengangkut aluminium, menurut Agensi Anadolu yang dikendalikan kerajaan.
Punca kapal itu karam tidak diketahui dengan segera. Siasatan telah dilancarkan oleh pejabat ketua pendakwa raya untuk Kumluca.
Perintah Pengawal Pantai Turki berkata ia menerima panggilan kecemasan pada 3:47 pagi dan menghantar sebuah kapal, beberapa bot dan dua helikopter. Dua anak kapal diselamatkan oleh helikopter pengawal pantai manakala tiga lagi diselamatkan oleh kapal lain di kawasan itu, katanya.
Semua anak kapal adalah warga Syria.
Usaha menyelamat terhalang oleh ribut, lapor Anadolu. AN