Pemandu maut, penumpang parah kereta terbabas

JOHOR BAHRU — Pemandu kereta maut, manakala penumpangnya parah selepas kereta dinaiki terbabas di bulatan Persiaran Bukit Indah, Taman Bukit Indah di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan jam 1.45 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun hilang kawalan ketika hendak memasuki bulatan persiaran itu.

“Kereta yang turut dinaiki rakannya yang juga seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun kemudian melanggar besi penghadang jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta telah tercampak keluar daripada kereta dan didapati parah di bahagian kepala serta patah tangan kanan dan dilaporkan maut.

Manakala, katanya, penumpang kereta parah di bahagian kepala, kaki dan tangan.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat dan rakannya telah mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE