Polis tahan penjawat awam jual air ketum di Precint 9

PUTRAJAYA — Polis menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menjual dan mengedar air ketum di Presint 9, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz, berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Putrajaya.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika berada di lobi sebuah apartment di Presint 9 kerana memiliki dua botol cecair disyaki air ketum.

Katanya, hasil tindakan susulan pihak BSJND merampas lima lagi botol plastik disyaki berisi air ketum menjadikan jumlah yang dirampas sebanyak 10.5 liter.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah harta benda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Asmadi berkata, suspek mendapat bekalan seminggu sekali dari pembekal di Labu Lanjut, Sepang dan menjual dengan harga RM18 sebotol.

“Suspek dibawa ke IPD Putrajaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. BH