KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menerima surat ugutan bunuh bersama dua butir peluru hidup, semalam.
Kok yang juga Naib Pengerusi DAP, memaklumkan surat ugutan berserta peluru itu ditemui dalam sampul yang diletakkan pada peti surat kediamannya.
“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.
“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis perkataan lucah dan ugutan bunuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Berikutan itu, katanya beliau membuat satu laporan di Balai Polis Petaling dan menyerahkan surat serta dua butir peluru itu kepada polis untuk siasatan.
“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan.
“Saya memang hairan dan tidak mengerti kenapakah saya terima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas menjalankan siasatan sejurus pihaknya membuat laporan polis.
“Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya.
BH ONLINE