RANAU — Remaja perempuan ditemui rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lasing, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, mayat Agnes Jong Anak Adam, 15, ditemui rentung di ruang tamu rumah tingkat bawah oleh anggota bomba.
Difahamkan, ketika kejadian bapa saudara mangsa cuba untuk menyelamatkan mangsa namun gagal berikutan asap tebal dan api marak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.36 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lapan anggota bomba digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 2.55 pagi dan terdapat seorang remaja perempuan ditemui rentung di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari lokasi kebakaran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 4.26 pagi,” katanya.
BH ONLINE