BUKIT MERTAJAM — Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut dipercayai dibunuh oleh individu yang memecah masuk rumah dua tingkat keluarga mangsa di Kampung Guar Perahu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi, mangsa berusia 40-an tinggal bersama ibu dan bapanya yang juga warga emas masing-masing berusia lingkungan 70 dan 80-an.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata sepasukan polis ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.
“Berdasarkan keterangan bapa mangsa (pengadu), dia yang tidur di bilik berasingan dengan isterinya bangun dan mahu mengejut isterinya (yang tidur di bilik lain), namun didapati tangan dan kaki isterinya diikat dengan kabel manakala mulut disumbat dengan kain serta pita pelekat hitam dalam keadaan cedera luka di jari kanan.
“Kemudian, pengadu pergi ke bilik anak lelakinya (seorang OKU bisu) juga didapati dalam keadaan sama seperti isterinya namun tertiarap di lantai dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri.
“Pengadu kemudian menghubungi pegawai perubatan dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan mengesahkan anaknya telah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengadu mengesyaki bahawa kediamannya dipecah masuk berdasarkan keadaan rumah yang berselerak.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, siasatan polis mendapati terdapat individu tidak dikenali yang bersenjatakan parang telah masuk ke dalam rumah mangsa.
“Suspek bertindak mengikat mangsa (wanita warga emas) dan anak lelakinya (mangsa) seterusnya mengeledah bilik mangsa dan mengambil wang tunai serta sebuah televisyen sebelum melarikan diri menaiki kenderaan.
“Bagaimanapun, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan lima rekod dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau di mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
BH ONLINE