Banjir kilat di Kajang

KAJANG — Hujan lebat beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan beberapa tempat di pekan Kajang, di sini, dilanda banjir kilat.

Berdasarkan rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan antara lokasi yang dilanda banjir kilat ialah Jalan Raja Haroun dan Jalan Sri Jelok menghala ke Penjara Kajang.

Sementara itu, bomba membantu menyelamatkan seorang wanita warga emas selepas rumahnya di Jalan Melur 1, Sungai Kantan, di sini, dinaiki air, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.04 petang tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat sebuah rumah didiami seorang wanita warga emas dinaiki air.

“Anggota bomba bertugas kemudian membawa keluar wanita warga emas berusia 86 tahun berkenaan dari rumahnya yang dilanda banjir,” katanya.

BH ONLINE