Dua maut, pikap dirempuh lori batu

KUCHING — Dua lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori mengangkut batu di Kampung Bakol, Limbang, hari ini.

Mangsa, Mohamad Ardie Khan Karim, 39, dan Ngu Tiong Hieng, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi kejadian yang terletak 16 kilometer dari balai, didapati sebuah pikap iaitu Toyota Hilux dirempuh lori membawa muatan batu.

“Salah seorang mangsa iaitu Mohd Ardie Khan tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandunya tersepit di tempat duduk,” katanya.

Menurutnya, anggota paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan keapda polis sebelum dihantar ke Hospital Limbang untuk tindakan selanjutnya.

BH ONLINE