SEPANG — Seorang penyelia pengeluaran kilang sintetik warga Amerika Syarikat (AS) didenda RM4,000 selepas didapati bersalah memiliki tiga butir peluru pada 19 Mei lalu.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman itu selepas David Allen Trail, 47, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya, hari ini.
Tertuduh didakwa memiliki dua butir peluru jenis Tulammor dan sebutir peluru jenis Wolf buatan Russia tanpa lesen atau permit yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di mesin pengimbas balai pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.40 malam 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam kepada Allen Trail, S Vivek, dalam hujahannya berkata, tertuduh tiba di negara ini sejak lima minggu lalu atas urusan pekerjaan mewakili majikannya di AS.
Malah, tertuduh dibenarkan memiliki peluru di negara asalnya serta tiada niat untuk mengedar, membuat atau menggunakan peluru terbabit di negara ini, selain tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan manakala barang kes dilupuskan.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi. BH