Batu Pahat — Seorang rentung dalam kemalangan membabitkan tiga lori membawa muatan kayu balak berdekatan lampu isyarat Kampung Temehel, Jalan Labis-Yong Peng, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu, Mohd Khairol Nizam Rokazi, 38, yang juga pemandu salah sebuah lori balak terbabit maut di tempat kejadian.
Pemandu sebuah lagi lori, Mohd Shahril Musa, 27, dilapor cedera, manakala seorang lagi terselamat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kejadian berlaku ketika dua lori balak dari arah Labis di Segamat menghala Yong Peng berhenti untuk menunggu lampu isyarat hijau.
Bagaimanapun, katanya, sebuah lagi lori balak lain datang dan merempuh belakang salah sebuah kenderaan berat itu dan terbakar.
“Pemandu lori yang paling belakang itu gagal menyelamatkan diri kerana tersepit di tempat duduk dan rentung,” katanya ketika dihubungi.
Ismail berkata, operasi memadam kebakaran dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BH