Blogger ditahan terima rasuah RM1.3 juta lobi perolehan kontrak kementerian

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lelaki yang juga blogger untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam satu projek membabitkan nilai kira-kira RM41 juta di sebuah kementerian.

Perintah reman ke atas suspek selama dua hari sehingga esok dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, suspek yang mempunyai ramai pengikut dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar 2020.

Sumber itu menambah, permintaan dan pembayaran rasuah dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek untuk melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Difahamkan, selain isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 ASPRM 2009. BH