42 cedera bas terbalik dalam longkang

42 cedera bas terbalik dalam longkang
nggota bomba memeriksa bas persiaran yang terbalik di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Ipoh, pagi tadi. Foto ihsan bomba Perak

IPOH — Sebuah bas persiaran dinaiki 41 penumpang dipercayai dalam perjalanan menghadiri majlis keagamaan terbalik selepas terbabas di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 7.28 pagi itu, semua mangsa serta pemandu bas mengalami kecederaan, namun kebanyakannya hanya cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi dengan dibantu anggota BBP Kuala Kangsar.

Selain bas berkenaan, katanya, sebuah kereta turut terbabit dalam kejadian itu, namun pemandunya tidak cedera.

“Berdasarkan maklumat awal, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju Ipoh membawa penumpang bagi menghadiri upacara keagamaan, namun terbabas apabila memasuki longkang di sisi bahu jalan.

“Semua mangsa cedera selepas bas terbalik ke dalam longkang, dibawa ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selain ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

BH ONLINE