4 remaja Bangladesh jadi buruh paksa diselamatkan JTK

IPOH — Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak menyelamatkan empat remaja lelaki warga Bangladesh yang disyaki dieksploitasi menjadi buruh paksa di sebuah kilang, dalam Operasi Penguatkuasaan Perburuhan, di sini hari ini.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani, berkata keempat-empat remaja berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu, dipercayai bekerja di kilang berkenaan lebih setahun lalu.

“JTK akan memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) terhadap keempat-empat mereka di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Penahanan ini juga dilakukan selepas JTK melakukan risikan selama lebih sebulan di kilang sebelum operasi dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Perburuhan JTK Perak.

Operasi berkenaan disertai 11 anggota JTK Perak dan tujuh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang majikan warga China berumur 58 tahun di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana menggaji pekerja bawah umur.

Dalam operasi sama, katanya, 36 daripada 224 pekerja asing yang diperiksa ditahan di bawah Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Beliau berkata, daripada jumlah yang ditahan, 34 warga Bangladesh, manakala dua warga Nepal yang semua dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan lanjut.

Menurut Muhamad Fauzi, pihaknya turut mengenal pasti empat lagi kesalahan, termasuk tiada perakuan penginapan daripada JTK di bawah Seksyen 24D dilakukan kilang berkenaan, yang dipercayai beroperasi sejak lebih lima tahun lalu.

Kesalahan lain mengikut Akta 446, gagal menyediakan kemudahan asas seperti diperuntukkan Peraturan 4 di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

“Dua lagi kesalahan dikenal pasti, di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 iaitu gagal melaporkan penggajian pekerja asing, selain gagal memberi notis di bawah Seksyen 63A, Akta Kerja 1955 kerana penukaran nama syarikat,” katanya.

BH ONLINE-BERNAMA