Penduduk menunjukkan tingkap yang pecah akibat kesan kejadian letupan gudang mercun di pekan Mundok, yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand, semalam. NSTP/Syaherah Mustafa
RANTAU PANJANG — Sebanyak 22 rumah di Kampung Bukit Lata, di sini, rosak akibat kesan letupan stor penyimpanan mercun di pekan Mundok, di sebelah Thailand yang bersempadan bandar ini, dalam kejadian jam 4.10 petang, semalam.
Tinjauan ke kampung berkenaan mendapati kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan seperti pecah cermin tingkap dan siling runtuh, selain ada beberapa kediaman yang mengalami keretakan.
Penduduk, Syed Mohd Azman Syed Abd Aziz, 57, berkata dia hampir rebah ketika berada dalam tandas kesan letupan kuat.
“Saya berada di tandas untuk bersiap sebelum solat Asar dan terus bergegas keluar apabila mendengar letupan berkenaan yang saya sangkakan bom. Seluruh keluarga panik dan keluar daripada rumah kerana bimbang jika rumah akan runtuh.
“Sebaik keluar, saya melihat jiran lain juga terpinga-pinga serta ketakutan sebelum ternampak kepulan asap di seberang sana dan kami dimaklumkan bahawa berlaku letupan pada tempat penyimpanan mercun.
“Ia adalah kejadian kali pertama seumpama ini yang mana turut merosakkan harta benda penduduk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lata, di sini, hari ini.
Kampung Bukit Lata adalah penempatan yang paling terdekat dengan pekan Mundok, Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.
Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Che Wan 62, berkata dia tersungkur ke tanah akibat kesan letupan itu kerana ketika kejadian dia berada di tebing sungai berdekatan perahu di pangkalan berdekatan.
“Saya hanya mampu mengucap panjang dan berasa kosong seketika kerana terkejut dengan apa yang berlaku. Keluarga saya ramai di sebelah Mundok, jadi saya segera menelefon mereka sebelum dimaklumkan tentang kejadian sebenar.
“Alhamdulillah, keluarga saya semuanya selamat tetapi saya dimaklumkan seramai 11 penduduk ditemui meninggal dan masih ada sekurang-kurangnya lima lagi mangsa yang masih belum ditemui kerana dihempap runtuhan bangunan,” katanya
Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan dilaporkan mati, manakala puluhan lagi mangsa cedera selepas stor menyimpan bunga api dan mercun dekat Pasar Mundok di sebelah Thailand yang bersempadan dengan pekan ini, meletup petang semalam.
Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. Semua mangsa dilaporkan warga tempatan Thailand.
BH Online