16 terbunuh semasa serangan udara AS-British ke atas Hodeidah, Yaman – TV Houthi

SANAA — TV al-Masirah dikawal Houthi melaporkan pada Jumaat, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 35 yang lain cedera dalam serangan udara dilancarkan pakatan AS-British di bandar pelabuhan Laut Merah, Hodeidah pada petang Khamis.

Pihak berkuasa kesihatan Hodeidah mengaitkan mangsa terkorban berpunca daripada serangan di bangunan Radio Hodeidah dan pelabuhan Salif, menurut al-Masirah.

Ini berikutan laporan sebelumnya oleh saluran itu, mendakwa pesawat pejuang AS dan British menyasarkan wilayah Sanaa, Hodeidah, dan Taiz yang dikuasai Houthi pada Khamis.

Sementara itu, Perintah Pusat AS berkata pada pagi Jumaat, tentera AS menembak jatuh lapan dron Houthi pada Khamis, diikuti dengan serangan udara British ke atas 13 kemudahan Houthi “untuk mempertahankan diri”.

Selain itu, media AS, memetik pegawai tentera, melaporkan jet pejuang dan kapal perang Amerika dan British menyerang beberapa sasaran Houthi pada Khamis, termasuk kemudahan bawah tanah, pelancar peluru berpandu, pos perintah, kapal dan dron, sebagai tindak balas kepada serangan Houthi baru-baru ini ke atas kapal di Laut Merah dan Teluk Aden.

Kementerian Pertahanan Britain turut mengesahkan dalam satu kenyataan operasi bersama dengan tentera AS menyasarkan kemudahan tentera Houthi yang dikaitkan dengan serangan Laut Merah dan Teluk Aden. Mereka juga melakukan serangan bersama ke atas tiga dron Houthi dan tapak penyimpanan senjata darat ke udara di Hodeidah.

Pada Rabu, kumpulan Houthi mendakwa serangan ke atas enam kapal kargo di Laut Merah, Laut Arab, dan Mediterranean yang telah mengunjungi pelabuhan Israel. Mereka juga mendakwa telah menjatuhkan dron MQ-9 Reaper, AS.

XINHUA