FAIZABAD, Afghanistan – Seorang pelombong emas maut, dan dua lagi cedera apabila terowong lombong emas runtuh di wilayah Badakhshan, utara Afghanistan pada Rabu, kata jurucakap polis wilayah Ehsanullah Kamgar pada Khamis.
Insiden itu berlaku pada petang Rabu apabila sekumpulan pelombong sedang sibuk mengeluarkan elemen berharga itu di sebuah lombong emas di daerah Yaftal di luar ibu kota wilayah Faizabad, menyebabkan seorang pelombong maut dan mencederakan dua yang lain, tambah pegawai itu.
Ini adalah kejadian ketiga di Afghanistan sepanjang minggu lalu.
Kejadian serupa meragut nyawa seorang pelombong emas di daerah Khahan di Badakhshan pada hujung minggu, manakala dua lagi pelombong kehilangan nyawa mereka apabila lombong arang batu runtuh di wilayah utara Samangan beberapa hari lalu.
Kekurangan jentera moden dalam perlombongan, pengekstrakan lombong secara haram oleh pelombong tidak mahir sering membawa kepada bencana, yang meragut nyawa pelombong miskin di Afghanistan.
XINHUA