SERDANG — Seorang wanita warga Bangladesh ditemui meninggal dunia di rumahnya di sebuah apartmen di Serdang Perdana, dekat Seri Kembangan, di sini, semalam.
Mayat mangsa, 34, ditemui penjaga apartmen selepas dimaklumkan wanita itu dia tidak dapat dihubungi oleh rakannya.
Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan baru menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu jam 3.06 petang semalam.
“Hasil soal siasat awal mangsa bersama beberapa rakan ada menghadiri majlis makan malam kelmarin dan ketika itu, keadaannya dilihat kemurungan serta tidak seperti sedia kala.
“Berdasarkan maklumat rakannya, mangsa tidak gembira untuk pulang ke kampung halaman di Bangladesh disebabkan masalah peribadi.
“Selain itu, ibu mangsa juga dikatakan sudah meninggal dan di kampungnya di Bangladesh hanya ada bapa dan suaminya,” katanya melalui kenyataan.
Anbalagan berkata, sehingga kini siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kematian serta motif kejadian.
“Kita juga menunggu hasil laporan bedah siasat dari Hospital Serdang dengan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. BH