KUALA LUMPUR — Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok, 23 Mac, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Rabu lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, menerusi satu kenyataan, menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijriah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia.
Proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara antaranya di Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. Demikian menurut laporan BH memetik Bernama.
Sementara itu, Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir menerusi kenyataan disiarkan di laman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga mengisytiharkan awal Ramadan di negara itu pada 23 Mac 2023.
“Mengikut kiraan hisab yang berdasarkan kriteria imkanur rukyah, anak bulan berada di ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi selama 38 minit.
“Suka saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan tahun 1444H bermula esok, Khamis bersamaan 23 Mac 2023.
“Izinkan saya mengucapkan selamat menyambut ketibaan bulan mulia Ramadan. Semoga bulan ini mendatangi kita dengan keamanan, keimanan dan keselamatan serta dapat kita laksanakan apa yang disukai dan diredhai Allah SWT,” katanya.