Tukang cuci cabul remaja lelaki 15 tahun ditahan

KUALA LUMPUR — Polis menahan seorang tukang cuci warga asing yang dipercayai mencabul seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di tandas sebuah pusat beli-belah, di Cheras, semalam.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada mangsa pada jam 2 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di sebuah tandas dan sedang mengikat tali kasutnya.

“Suspek memeluknya dari arah belakang dan meraba badan selain memegang punggung serta mencium pipinya.

“Mangsa kemudian keluar dari tandas, namun suspek mengikutinya dari arah belakang dan bertindak memegang kemaluan pengadu.

“Mangsa kemudian melarikan diri ke arah ibunya dan suspek menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, bertindak atas maklumat, polis menangkap suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah terbabit pada hari kejadian.

“Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 9 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang pernah berhadapan kejadian sama untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. BH